'KEMAMAN – Dengan taktik menyamar sebagai pegawai JPAM dan menawarkan peluang pekerjaan sebagai anggota jabatan itu, seorang remaja lelaki bukan sahaja menipu duit orang kampung, malah lebih kejam suspek turut merogol seorang wanita ketika sesi temu duga.
Suspek, 18, memperkosa mangsa yang berumur 20 tahun selepas meminta wanita dari Kijal itu menghadiri temu duga di sebuah hotel di Chukai dalam kejadian lebih kurang jam 8 pagi pada 24 Ogos lalu.
Bagaimanapun mangsa yang hadir ke hotel itu seorang diri tanpa ditemani sesiapa akhirnya terperangkap selepas sesi temu duga berkenaan bertukar menjadi sesi memuaskan nafsu suspek.
Ketua Polis Kemaman, Pemangku Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, lebih kurang jam 6 petang pada hari sama juga, suspek turut memperdaya beberapa penduduk Kampung Meraga Beris setelah menawarkan pekerjaan sama dengan menetapkan yuran kemasukan ahli sebanyak RM50 seorang.
Katanya, bagi menarik minat penduduk kampung, suspek menjanjikan setiap anggota JPAM berkenaan akan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,500.
“Beberapa penduduk berminat dan bayar RM50 untuk menjadi ahli seterusnya dapat bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kemaman, semalam.
Suspek yang menumpang sementara di rumah kenalannya di Kijal akhirnya berjaya ditangkap polis dengan bantuan orang kampung lebih kurang jam 1 pagi pada Rabu lalu selepas beberapa minit mangsa rogol membuat laporan di balai polis. Bagi kes tipu pula, dua laporan dibuat pada hari sama, masing-masing pada jam 3 dan 9 pagi.
Mohd Said berkata, suspek berasal dari luar Kemaman dipercayai tinggal sementara di rumah kenalannya sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, suspek ditahan direman sehingga 1 September depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 420 kanun sama kerana menipu.
Oleh itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk tampil membuat laporan jika turut menjadi mangsa dengan modus operandi melibatkan penawaran kerja sama ada JPAM, Rela atau mana-mana jabatan lain agar polis dapat mengekang kegiatan penipuan.
PEGAWAI 'JPAM' ROGOL WANITA KETIKA TEMUDUGA
SINAR HARIAN - 29 OGOS 2015
PENTINGNYA RASA CURIGA, AGAR TIDAK JADI MANGSA
Setiap kes pemerkosaan sehingga menghasilkan kehamilan luar nikah yang diserahkan kepada kami akan kami teliti sehalus mungkin kronologinya. Ingin kami kongsikan rumusan dari analisa kajian itu untuk sama-sama diambil pelajarannya oleh anak-anak dan para ibubapa.
Punca paling besar ialah kelalaian ibubapa, di mana tiada langsung rasa cemburu melepaskan anak remaja keluar sendirian, bahkan ramai yang sengaja membiarkan anak gadisnya keluar berdua-duaan dengan teman lelakinya. Alasan anak tidur di rumah 'kawan' apabila tidak pulang diterima dengan begitu sahaja tanpa curiga.
Bukannya semua remaja kita yang hamil itu benar-benar terlanjur atas kehendak sendiri. Memang ada di kalangan mereka yang benar-benar diperkosa. Kebanyakannya dalam keadaan separa sedar, mabuk, atau khayal. Apabila sedar tubuhnya sudah tiada seurat benang pun.
Ada yang menyesal dan tidak mahu mengulanginya selepas diperkosa, walaupun mereka hamil selepas perkosaan kali pertama itu juga.
Yang lainnya akan bertindak nekad untuk terus menikmati hubungan seks sebebas-bebasnya dengan lebih ramai lelaki. Biasanya melibatkan remaja yang memang agak 'gedik' sejak awal lagi.
Ada pula yang melanjutkan aktiviti sumbang ini hingga ke peringkat menjual diri, lebih-lebih lagi apabila sudah ke peringkat ketagihan dadah dan ditaja pula oleh teman lelaki.
Kesilapan paling besar bagi anak gadis di peringkat awalnya ialah 'begitu berani' mengikuti lelaki ke sarang mereka dengan sengaja. Tiada langsung rasa curiga akan keselamatan diri oleh kejahatan lelaki, khususnya bagi gadis bawah umur. Ibubapa pula tidak mendidik anak mereka peri pentingnya sikap 'curiga' itu? Apa pula akibatnya jika anak gadisnya sudah terlanjur atau diperkosa?
Lebih menyedihkan bagi kami apabila begitu banyak kes perkosaan terhadap gadis OKU sehingga hamil dan melahirkan anak berkali-kali. Punca utama masih kelalaian ibubapa yang tidak langsung curiga membiarkan anak OKU nya berada bersama mana-mana lelaki, baik orang lain mahupun keluarga sendiri.
Kes yang dilapur di Kemaman ini turut disebabkan sikap tiadanya rasa curiga.
Kes tawaran menjadi ahli JPAM dengan membayar yuran ini pernah berlaku dengan berleluasa sebelum ini. Jika boleh tertipu dengan proses pengambilan dan membayar yuran sekalipun, kesilapan anak gadis menghadirkan diri ke HOTEL untuk ditemuduga lelaki pastinya menimbulkan curiga. Malangnya diredah juga.
Si penipu sudah ditunggangi nafsu, mengambil kesempatan dari kesusahan orang ramai yang amat memerlukan pekerjaan bergaji tetap. Kerana nafsu, mereka memeras mangsa dengan wang ringgit bahkan sanggup memperkosa.
Panjang-panjangkanlah kisah ini agar dapat memberi kesedaran kepada rakan taulan dan saudara mara kita.
WARGA PRIHATIN
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"