 |
Jashiah Rabu, Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Keramat Satu, dipercayai hilang dan dilaporkan pernah beberapa kali meminta makanan daripada penduduk kampung orang asli Buluh Telur daerah Kuala Kubu Bharu. Usaha mencari dan mengesan wanita ini sedang dijalankan. - Foto BERNAMA |
KUALA KUBU BHARU – Operasi mencari dan menyelamat guru besar sebuah sekolah rendah di Keramat, Kuala Lumpur, Jashiah Rabu yang hilang sejak enam hari lepas di Taman Seri Seruling, di sini diteruskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, pencarian diteruskan di beberapa kawasan termasuk di hutan simpan Bukit Kutu dan perkampungan Orang Asli.
Kekuatan seramai kira-kira 50 orang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, renjer hutan, penduduk dan Pegawai Pendidikan Daerah ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ini.
“Semua agensi terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk melakukan pencarian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan mengikut keadaan cuaca.
Seorang saksi penjaga kandang lembu yang hanya dikenali sebagai Zainal berkata, dia pernah melihat wanita itu berjalan di luar kawasan kandang lembu tetapi tidak menyangka wanita itu akan hilang.
Katanya pada ketika itu wanita berkenaan kelihatan tidak terurus.
“Saya biasa nampak dia di kawasan sekitar tetapi sebelum dia dilaporkan hilang, saya ada melihat dia berjalan melalui kawasan kandang lembu ini dan menuju ke perkampungan Orang Asli,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 53 tahun yang tinggal di Taman Seri Seruling kelihatan murung sejak kebelakangan ini dipercayai kesan pengambilan ubat rawatan barah yang dihidapinya. – BERNAMA
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"