Hari ini banyak tersebar di laman sosial kononnya jerebu kuning yang melanda negara jiran, Indonesia sudah sampai ke Malaysia.
Gambar-gambar jerebu kuning berkenaan menjadi viral di laman sosial dikatakan telah disebarkan oleh pihak tertentu melalui Facebook dan Whatsapp membuatkan penduduk Malaysia berasa takut akan terhidu gas beracun dari jerebu kuning berkenaan.
Gambar yang diedit ke warna kuning
Kerana penyebaran berita palsu berkenaan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Alam Sekitar(JAS) telah tampil mengeluarkan kenyataan media pada jam 6 petang tadi.
*********************************************************************************
MAKLUMAT VIRAL ‘JEREBU KUNING’Terdapat maklumat-maklumat berkaitan “jerebu kuning” dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tidak benar telah disebarkan dan menjadi viral di media sosial khususnya menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ pada hari ini.
Ingin dimaklumkan bahawa Indeks Pencemar Udara (IPU) merupakan petunjuk status kualiti udara semasa sama ada baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat atau berbahaya dengan mengambil kira tempoh pendedahan pencemar udara kepada kesihatan awam. Indeks Pencemar Udara (IPU) di Malaysia merupakan pengukuran kesan kepekatan lima (5) pencemar udara utama (habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10), karbon monoksida, (CO), sulfur dioksida (SO2), nitrogen dioksida (NO2) dan ozon di permukaan bumi (O3) terhadap kesihatan manusia yang normal dan dalam jangka masa pendedahan tertentu. Semasa jerebu, kepekatan pencemar yang paling tinggi adalah habuk halus dan bacaan habuk halus ini yang memberikan bacaan IPU ketika jerebu. Selain habuk halus kandungan pencemar utama yang berkemungkinan adalah karbon monoksida disebabkan kebakaran tidak lengkap terhasil dari kebakaran tanah dan hutan yang berpanjangan.
Hasil pemantauan JAS sepanjang jerebu ini bacaan kepekatan karbon monoksida (CO) adalah rendah dan kurang dari “Recommended Malaysia Air Quality Guidelines” iaitu di bawah 30 ppm (1 jam) atau 35 mikrogram per meter padu (1 jam). Oleh itu, ia tidak menyebabkan fenomena jerebu berwarna kuning.
Sehingga jam 5.00 petang hari ini, 20 Oktober 2015, terdapat 25 buah kawasan yang mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat. Walau bagaimanapun, bacaan IPU di 25 buah kawasan tersebut masih berada di bawah paras 200, dengan Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat bacaan IPU terkini dan rasmi di laman web JAS di alamat url
http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar MyIPU di 'Google Play' atau 'App Store'.
*********************************************************************************
Pada tinjauan kami di laman sosial banyak page-page facebook dilihat berkongsikan maklumat ini, dan pihak JAS menasihatkan supaya kesemua maklumat palsu berkenaan diturunkan untuk mengelakkan masyarakat menjadi panik. -
Kredit
Gambar dan berita yang disebarkan di laman sosial
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"