GURUN: Seorang doktor berusia lingkungan 30-an terkedu apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang baru dibelinya dua bulan lalu, disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas disahkan sebagai kenderaan klon.
Perkara itu disahkan susulan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Toyota Wish terbabit ketika ia ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun di sini, hari ini.
Pengarah JPJ Kedah, Amir Onn Mustapha, berkata hasil pemeriksaan ke atas beberapa ciri kenderaan itu serta cukai jalan mendapati ia agak meragukan dan wujud elemen penipuan.
"Semakan lanjut mendapati nombor enjin dan casis kereta itu tidak berdaftar dengan sistem JPJ. Kereta terbabit kemudian disita untuk tindakan lanjut termasuk dilucutkan hak pemiliknya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kenderaan tidak didaftarkan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 hingga RM10,000," katanya.
Dalam operasi itu, lebih 1,000 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 124 dikenakan tindakan notis dan saman atas pelbagai kesalahan serta dua kereta disita.BH
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"