 |
Abdulllah melihat bahagian dapur rumahnya yang dibadai ombak malam tadi. |
Kuala Nerus: Tiga beranak berdepan detik mencemaskan apabila rumah didiami dibadai ombak besar lebih dua meter sehingga bahagian dapur rumah mereka rosak dalam kejadian di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, malam tadi.
Akibat kejadian kira-kira 10 malam itu, Abdullah Mat Isa, 52, bersama isteri Hani Awi, 44, dan anak tunggal mereka, Nor Hidayah Abdullah, 18, terpaksa berpindah ke rumah saudara terdekat.
Abdullah berkata, air pasang mulai menghampiri kawasan rumahnya yang terletak tiga meter dari pantai.
Bagaimanapun, sekitar jam 8 malam, ombak besar disertai angin kencang mula membadai rumahnya.
“Tanpa berlengah, saya mengarahkan anak dan isteri supaya segera mengemas barangan untuk dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran.
“Pada 10 malam, saya terdengar bunyi kuat dan apabila diperiksa, saya dapati bahagian dapur rumah sudah musnah dibadai ombak,” katanya ketika ditemui Harian Metro, malam tadi.
Menurutnya, kejadian berkenaan menyebabkannya mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal di rumah pusaka berusia 40 tahun peninggalan ibu mentuanya itu.
“Saya tak berani nak duduk di sini lagi dan bercadang tinggal di rumah pusaka keluarga di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba Kuala Nerus, Mohd Pauzi Muda berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.32 malam.
“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Kuala Teregganu serta bomba sukarela selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang terjejas.
“Anggota penyelamat akan berkampung di sini bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa dan saya menasihatkan 15 keluarga yang tinggal di sepanjang lima kilometer di pantai ini supaya segera berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.HM
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"