SHAH ALAM: Wajah seorang pekerja restoran warga Bangladesh menjadi viral di laman sosial selepas dikatakan mirip Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Md Raton Choukidar, 37, mula popular selepas seorang pelanggan Restoran Nasi Ayam Pak Mal tempatnya bekerja di Seksyen 10 di sini, memuat naik gambarnya di Facebook.
Md Raton berkata, dia pada mulanya tidak mengenali siapa Khalid walaupun sering menjadi sebutan pelanggan, hinggalah ada anggota polis yang berkunjung ke restoran bergambar dengannya.
"Apabila ada polis yang ingin bergambar dengan saya, selepas itu baru saya sedar wajah saya mirip dengan orang penting di Malaysia.
"Apabila melihat gambarnya (Khalid) di televisyen atau surat khabar, saya mula bandingkan sama ada kami ada wajah seiras atau tidak," katanya sambil tersenyum ketika ditemui BH di sini, hari ini.
Md Raton berkata, dia tetap melayan permintaan orang ramai, terutama pelanggan restoran untuk bergambar, walaupun kadang-kala kurang selesa apabila dikaitkan dengan tokoh penting negara itu.
"Setiap kali orang memberitahu wajah kami hampir serupa, saya hanya mampu tersenyum kerana pada pandangan saya, kami tidak ada sebarang persamaan.
"Namun begitu, saya akan tetap melayan permintaan orang ramai terutama pelanggan di restoran kerana apabila mereka gembira, saya juga turut gembira,"
BH Online
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"