 |
Lembaga Tabung Haji membayar bonus berjumlah RM3.236 bilion untuk tahun lepas berbanding RM3.237 bilion pada 2014. ― Foto oleh Yusof Mat Isa |
KUALA LUMPUR, 6 Feb — Walaupun Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengumumkan jumlah dividen dan bonus untuk 2015 kelmarin, masih ramai yang keliru dengan jumlah sebenar peratusan yang akan mereka perolehi.
TH mengumumkan bahawa bonus tahunan merupakan 5 peratus, dengan tambahan 3 peratus lagi bagi mereka yang belum menunaikan haji.
Namun, ada beberapa pendeposit, terutama yang sudah menunaikan haji, keliru dengan jumlah bonus 8 peratus itu dan menyangka mereka juga layak, lapor Sinar Harian hari ini.
Tahun-tahun lepas kalau TH kata dapat lapan peratus, memang kami dapat lapan peratus. Cuma tahun ini terkejut sebab dapat sikit.
“Mak cik rasa pelik juga kenapa TH tidak beri bonus yang sama rata kepada semua pendeposit. Adakah duit kami yang disimpan di TH tidak ada nilai? soal Maimon Mohamed, 73, seorang pesara guru.
Maimon, yang sudah menunaikan haji pada 2005, berkata beliau kecewa kerana pengumuman mengelirukan sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
Mohamed Nor AR Jamli Mohammed, 76, dari Klang juga melahirkan rasa kecewa beliau kerana terdapat perbezaan bonus tersebut.
“Kenapa mesti ada yang dapat 5 peratus, ada dapat 8 peratus? Pak cik sudah lama simpan duit di TH sejak 1968 lagi, jadi kita harap TH dapat berlaku adil kepada semua pendeposit dengan memberi jumlah bonus yang sama,” kata beliau.
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata keuntungan bersih TH selepas zakat mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada 2014, tetapi bonus tahunan turun daripada 6.25 peratus ke 5 peratus sahaja.
“Jumlah bonus tahun ini lebih sedikit berbanding tahun sebelum sedangkan TH umum dapat banyak untung,” tambah Mohamed Nor, kecewa.
- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/bonus-tabung-haji-lapan-peratus-atau-lima-pendeposit-keliru-kecewa#sthash.G927HXa8.dpuf
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"