 |
Lori yang membawa muatan kelapa sawit terbalik di tapak pembinaan persimpangan Air Manis. |
SABAK BERNAM – “Saya tiba-tiba jadi panik bila berselisih dengan kenderaan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), tapi tak sangka tindakan saya nyaris ancam keselamatan kami,” kata seorang pemandu lori muatan sawit yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd Firdaus, 22.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, Mohd Firdaus bersama seorang kelindan melalui detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya terbalik ke dalam parit di tapak pembinaan persimpangan Air Manis.
Mohd Firdaus berkata, dia mengambil keputusan berpatah balik masuk ke tapak pembinaan terbabit bagi mengelak ditahan sepasukan anggota peronda JPJ.
“Sebaik lori masuk ke tapak pembinaan, tebing jambatan tanah tiba-tiba runtuh menyebabkan lori tidak dapat dikawal dan terbabas masuk ke dalam parit,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 27 tan metrik kelapa sawit dari sebuah pusat pengumpulan kelapa sawit yang sepatutnya dihantar ke sebuah kilang memproses kelapa sawit bertaburan ke dalam parit.
Menurutnya, anggota kereta peronda JPJ yang melihat kejadian kemudian terus bergegas membantu mereka keluar dari lori berkenaan.
“Anggota JPJ memaklumkan mereka hanya melalui kawasan berkenaan dan bukan hendak menahan lori yang saya pandu.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tak sempat nak buat apa-apa dan tahu-tahu lori dah terbalik. Saya syukur sebab kami selamat, ini lebih penting,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, akibat kejadian itu, rakan kelindannya yang terseliuh pada bahagian kaki dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"