 |
Antara barangan yang dirampas hasil penahan tiga suspek pecah rumah pemain bola sepak Johor DT II, Mohd Zaquan Adha. FOTO ihsan PDRM |
Kota Tinggi: Tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ditahan polis di sebuah rumah di Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, Johor awal pagi tadi.
Ketiga-tiga suspek lelaki warga tempatan berusia 23, 29 dan 37 tahun itu ditahan di rumah yang disewa mereka pada 1.45 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya menjalankan risikan dan siasatan sebelum berjaya mengesan kedudukan suspek di kawasan perumahan terbabit.
"Ketika tangkapan dilakukan, kita turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti alat pemotong besi, pemutar skru, kuku kambing dan spanar.
"Kita turut menemui pelbagai jenis jam serta beg tangan pelbagai jenama, barang kemas dan kamera yang dipercayai antaranya milik Mohd Zaquan Adha," katanya pada sidang media selepas Pertandingan Menembak antara Media Johor dan Polis Kontinjen Johor sempena Peringatan Hari Polis ke-209 di Lapang Sasar Ladang Rem di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas dua kenderaan iaitu Hyundai Tucson dan Peugeot yang mana kedua-duanya dilaporkan di Skudai dan Tampoi.
Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan pihaknya masih mengesan beberapa lagi suspek yang mungkin turut terbabit dalam kejadian itu.-hmetro
PERHATIAN:
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada kami di kitabantaiinfo [at] gmail [dot] com"